Rabu, 6 Jun 2007

ADA DIA

ADA satu mainan - tak reti pula saya nak kata kategori apa, yang pasti zaman saya kecil dulu, rata-rata budak perempuan suka main ala ramalan masa depan ni. Zaman millenium ni pun pernah gak ternampak anak-anak jiran yang perempuan enjoy mainan yang sama juga.Tepuk tangan dengan kuat (konon lagi merah tapak tangan tu lagi best lah resultnya) lepas tu cepat-cepat buat genggaman - kepalkan jari sementara tu ibu jari tangan yang satu lagi kena pula ditekankan ke pergelangan tangan yang digenggamkan tadi tu - tengok berapa `ketul' yang timbul. Kalau 2 ketul (saiz sebesar kacang hijau aja pun!_timbul, 2 lah anak masa depannya. Kalau 4 yang timbul, alamat 4 orang lah pula anaknya! Kekeh-kekeh la ketawa, nak-nak bila kawan sepermainan giat - heee! Anak awak 3 orang laaa, anak kita 2 aja! - tidaklah pula diketahui akan siapa yang asal usulnya introduce kan mainan yang feminin ni. Dan lucunya, lepas tu melalut-lalut lah pula future mothers ni menetapkan bilangan gender future childrennya advanced lagi - meneka-neka rupa paras, pekerjaan hatta nak buat rumah kat mana!
(Dah sekolah baru la tahu, ketul yang timbul dipergelangan tangan tu rupanya darah yang terkumpul sebab tersekat!)

Saya tergolong sama, tapi yang nampak balik-balik = tak 2, 3 ketul - maka membesar dengan hati yang berbunqa-bunga percaya bahawa anak saya kelak hanyalah, tak 2 , 3 orang aja...confirmed gitu. Maklumlah masa tu, saya kakak sulung pada 8 beradik. Masya Allah, camana 3 boleh jadi 13? (ada org kata agaknya lupa nak cek pergelangan kaki, tengkuk gak ah!)

Begitulah, kita insan seringkali berangan, merancang hatta bertindak dalam keadaan lalai bahawa di atas segala dan segala dan segala-segalanya, above all sudah ada master plan ALLAH sediakan untuk kita. Kerana apa? Kerana kita lambat dapat tahu bahawa:

1) Hidup adalah pinjaman dan tugasan bukan mutlak milik kita.
2) Hidup adalah satu perjanjian dan amanah. Ada permulaan yang akan diakhirkanNya.
3) Kita bukan si empunya kehidupan tetapi makhluk yang dihidupkan
4) Tujuan hidup bukan kena sekadar belajar pandai, makan kenyang dan berkhasiat, kerja bagus dan gaji lumayan, hari tua yang sihat untuk buat ibadah then mati dengan aman - mewariskan harta peninggalan yang cukup untuk anak-anak TETAPI
idengan sepenuh penghormatan, penuh kebesaran juga dengan sepenuh keistimewaan sebagai makhluk yang darjatnya Allah muliakan- lebih tinggi dar para Malaikat:
SEBAGAI HAMBA YANG BERIBADAH (penuh harap, rendah diri dan mendambakan redha, rahmat, ampunanNya) juga SEBAGAI KHALIFAH @ WAKIL YANG MENUNAIKAN, MENEGAKKAN, MENSYIARKAN SYARIAT & HAK ALLAH - Pencipta yang mengutuskan kita.

Sedihnya bila mengenang lama masa yang berjalan sebelum dapat tahu dan faham betapa segala penghormatan, kebesaran dan keistimewaan telah lama DIA kurniakan kepada saya sejak saya di dalam rahim ibu lagi - tetapi saya abaikan sebaliknya menjalani hidup biasa-biasa saja.

Saya mengomel pada diri saya sebenarnya. Kealpaan inilah yang membelengu saya - membuatkan saya selalu terima takdir Tuhan ke atas saya dengan kata-kata -"Sabar ja lah, dah ketentuan Tuhan..." atau "..dah takdir, nak buat macamana..." Tak perasan, itu sebenarnya suara protes dalam baik. Cam best kata budak sekarang. Berhati-hati lah, kita tak tahu mainan syaitan.

Maka bila DIA (sebenarnya) memberikan saya kepercayaan , penghormatan lagi untuk melahirkan seorang lagi hamba dan khalifahNya - anak ke 3 dan ke 4 okey lagi, masuk anak ke 5 hati mula ada riak resah. Dikurniakan yang ke 6, berbunga gundah, ke 7 gelisah. Untungnya suami saya sukakan anak-anak. Melihat kesabaran dan kegirangannya menerima putra demi putra (anak ke 3 saya saja yang baby girl - bahagia tak terkata 1st time dapat baby girl comel, tembam selepas ada 2 hero - ummi love you my sweet kakak!) saya rasa insan bertuah pula.
Tambah lagi bila menatap wajah-wajah comel, membelek jari-jari halus dan mengeletek tapak kaki yang merah kemetot, yang pernah saya kandung 9 bulan dalam rahim saya - kini telah berada di haribaan saya - syahdunya hati ibu. Tak sabar menghitung hari mereka mengesot, merangkak, bertatih dan berlari, tiap bulan adalah birthday (sampai hari ini umi masih ternampak-nampak wawa bertatih, siddiq merangkak, kakak belajar menyebut `walid', aiman bermain, cho'ot menangis, izzat bertatih, juga muhammad terkekeh ketawa...love you so much, each of you - May ALLAH bless u child...) Tapi bila kembali ke alam realiti, dengan jiran, dengan masyarakat rasa resah, gundah dan gelisah bertandang lagi. Tanyalah mana-mana ibu yang ALLAH kurniakan anak ramai - BUKAN melahir dan membesarkan anak ramai itu satu beban TETAPI sebenarnya pandangan, komen-komen `bernas' dan soalan `bijaksana', antaranya :

"Hiiii kau tak rimas ke?" atau "Larat ke engkau? Heii kalau aku ampunlah!" atau "Macamanalah rumah engkau ye!" atau "Macamana lah kau nak idup!" atau yang lebih terlampau lagi : "Slow downlah sikit!" juga "Kau ni macam emak kucinglah!" - INILAH yang menghancurkan hati dan untuk yang tak kuat iman, tergugat jugalah tauhid!

Janganlah cakap sembarangan.... kerana tak sembarangan orang juga yang Allah berikan penghormatan melahir, mengasuh anak ramai. Kerana ALLAH Maha Tahu, tidak sedikit peluh, darah kadang-kadang airmata yang mengalir dalam membesar, mendidik anak ramai - wang ringgit bukan soalnya lagi. Lebih dari itu, sebesar mana pulakah kasih, sayang, cinta yang sanggup dan mampu diberikan kepada anak yang ramai - tiada kalimah korban atau payah. Doakanlah saja agar Allah terus memberikan mereka kekuatan, ketabahan dan pimpinan di samping dimurahkan rezeki.

Sambung balik - justeru bila disahkan oleh doktor saya hamil anak ke 8, dalam bahagia hati gelabah. Hati dah siap planned - kalau baby girl, tutup account. Nak rehat dan pulun karier melukis 200% (ini le contoh insan yang buat perancangan macam hidup ni dia punya - jangan diikut!). Alhamdulillah, memang baby girl - Nur `Umairah, Si Permaisuri yang cantik lahir sehari selepas walidnya berlepas ke bumi Anbiya' Jordan selama sebulan kerana membuat pengambaran siri dokumentari 'Salam Timur Tengah' untuk RTM 1 (terima kasih Kak Aliyah Galeri Ilmu kerana berkat doa akak malam 28hb. Okt 2000 di KLIA - "Esok bersalin lah awak, selamat mudahan". Mmg selamat dan mudah; Tahniah kerana menerima Anugerah AMIN).

Takat ni nampaknya plan saya direstui Allah. Mulalah otak pun sambung susun plan berikutnya - kaedah kontraseptif apa nak ambil ni ya?

Jumpa doktor peribadi - Dr. Siti Sarah Klinik Bersalin Al Ilaj, Seri Gombak (terima kasih atas layanan penuh syariat, berakhlak dan kasih mesra - moga diberkati Allah), katanya:
"Anak comel, u sihat kenapa nak berhenti? (tanpa penyakit bahaya, ibu tidak digalakkan ikat.) Nak rehat berapa lama? 5 tahun? Nanti nak berbaby semula, umur dah meningkat. Risiko lain pula timbul."
- uih, tidak memberansangkan dengarnya. Berarak pulalah saya ke LPPKN (dekat Sogo, KL), dengan bantuan seorang sahabat yang memahami sambil menggendung si puteri yang baru berusia 90 hari. Menggunakan kaedah suntikan seperti yang dicadangkan pakar di sana, hati bertambah berbunga - Nur `Umairah akan kekal jadi puteri bongsu saya.

Leganya perasaan itu. Nikmat mendapat Puteri Bongsu saya zahirkan dengan menyediakan serba serbi pakaian & pekakasannya serba beropol, beriben serba merah jambu. Puas hati, lapang dada menikmati hari dia mula meniarap, mengesot kemudiannya belajar duduk.
Tapi gitulah lumrahnya manusia ni - bila hidup dalam nikmat, hati dibuai rasa seronok - selalu alpa. Hati pun dah syahdu, mood pula merah jambu - jadi leka then lupa....


Tidak ada sesuatu kesusahan yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya...
- Al Hadid : 22

... Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.
- Al Thalaq : 3
... Kami telah menentukan antara mereka penghidupan mereka dalam kehidupan dunia...
- Az-Zukhruf : 32

Benarlah insan mudah alpa - ADA DIA atas segala - kehidupan ini hakikatnya adalah milik DIA! DIA yang Maha Menyediakan, Maha Menjadikan, Maha Menentukan, Maha Menetapkan segala urusan telah memutuskan sesuatu untuk saya -

Sekitar Julai 2001, Si Puteri Bongsu Nur Umairah baru berusia 9 lebih, saya terkesima bila Dr Andi Anggeriani - sambil menggenggam lembut tangan saya mengucapkan:" TAHNIAH, Jannah, you disahkan hamil 17 minggu!"


Isnin, 4 Jun 2007

ALHAMDULILLAH, SYUKUR

Ahmad Amjad Azri; Ahmad Amjad Bahzi; Ahmad Amjad Fitri dan Ahmad Amjad Ghazi


"AKU dekat denganmu, lebih dekat dari urat lehermu."
- Hadis Qudsi -


- M U Q A D D I M A H -

Segala puji adalah hak Allah, Sang Maha Pencinta yang berhak atas segalanya, Yang Maha Memiliki segala-galanya. Yang Maha Menciptakan kau, aku - kita dari tiada kepada ada. Yang menggenggam tiap hati dan nyawa.

Dialah AL WAHHAB - Yang Maha Pengurnia - yang mengurniakan jutaan nikmat yang tidak terhitung- tiap yang kita syukuri atau kita mungkiri, tiap yang kita cintai dan kasihi - tiada harga untuk dinilaikan kurniaanNya ini, pun di sisiNya tiada kecil besar darjat kurniaanNya itu melainkan itulah bingkisan kasihNya. Intan permata sebenar di sisiNya hanyalah iman yang ada di sebalik lipatan kalbu - satu kesaksian, keyakinan dan iltizam - Wahai Tuhanku, Dikaulah yang ku sembah, matlamat, pengabdian dan tempat kembalinya aku sedangkan aku hanyalah hambaMu yang mengharap ampunan, kasih sayang dan belas ihsanMu.

Selawat dan salam buat Kekasih di atas segala kekasih, leluhur cinta buat tiap yang bercinta - dia yang hidup dan matinya mengabdi pada yang dicintainya. Dia yang menjadi insan luarbiasa kerana keluhuran dan keagungan cintanya, dia yang tika di ambang wafatnya masih penuh hatinya melimpah dengan cinta, dialah juga setelah wafatnya masih menitipkan cinta. Dia yang siapa menyintainya, akan dicintai pula oleh Sang Maha Pencinta. Menyebut namanya segenap alam berdenyut dengan cintaNya - berselawatlah atasnya - Nabi Muhammad SAW, maka tiap debu, tiap titis embun, tiap helai daun, tiap haiwan melata di bumi - tiap satunya akan bertasbih untukmu.


"Berhak atas kasihKu mereka yang saling sayang kerana Ku, berhak atas kasihKu mereka yang saling ingat mengingati keranaKu berhak atas kasihKu mereka yang saling berziarah keranaKu berhak atas kasihKu mereka yang saling bersilaturahim keranaKu. Mereka yang saling sayang keranaKu akan berada di mimbar-mimbar cahaya bersama-sama para Rasul dan Nabi juga mereka yang gugur syahid."
- Hadis Qudsi-



"AKU dekat denganmu, lebih dekat dengan urat lehermu" ...

... telah berulangkali saya menemui ungkapan ini. Sejak dari saya pandai membaca (umur 9 tahun saya dah rajin menggeledah buku - segala jenis buku - sebab zaman 70an dulu ayah belum mampu beli TV - he.. he..) Ulangkali, namun selepas itu ia hanya tinggal di kotak minda sekadar sebagai satu fakta - oh, Tuhan itu hampir, sentiasa ada. Tak lebih dari satu kepercayaan yang sangat umum yang melengkapkan ilmu sebelumnya - yang masa kecil-kecil dulu ada Ustaz di sekolah beritahu, ustazah beritahu, mak, ayah, atuk pun selalu cakap - salah satu sifat ALLAH yang wajib diketahui ialah Allah itu WUJUD. Maksudnya ADA. Full stop.

10 tahun berlalu, 20 tahun berlalu, 30 tahun berlalu.... saya terus melalui proses kehidupan seadanya - biasa-biasa saja. Masih saja dengan ingatan - Allah sentiasa ADA - itulah yang menjadi guideline dalam saya menentukan the DOs and DON'Ts dalam hidup. Dalam melalui hidup fasa budak sekolah - semasa menjadi penghuni Asrama Semai Bakti FELDA di AU 2A, Keramat (sekolah Convent Bukit Nanas - CBN 1981 hingga 1983), hingga berkahwin (luv u!) dan menjadi ibu pada anak-anak (ummi love you, really love you all!) ia menjadi piagam keramat dalam hayat saya. terutama di waktu terasa sangat low, ingatan inilah yang memujuk hati dan mengubat duka -" tak apalah, sabar lah - Allah ADA- Dia Maha Tahu" (ia memang sangat berkesan). Kalau tension macamana pun, rasa nak buat nakal ke, onar ke - pelan-pelan cakap pada diri sendiri - "hei, Allah ADA, DIA tahu! Bila dah jadi emak pula, macamana emak, ayah dan atuk dulu, saya pula turunkan pesanan ini pada anak-anak (lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadhan!) - "Ingat, ummi tak tahu tapi ALLAH apa? ...." anak-anak pun faham-faham aja jawapannya - "ADA!"

TETAPI!!!
Setelah berlaku satu peristiwa ajaib sekitar Julai 2001, ALLAH yang Maha Pengasih itu telah sudi memberikan saya suatu pelajaran yang benar-benar memberitahu:

"AKU dekat denganmu, lebih dekat dari urat lehermu"!

Insya Allah, moga saya diperkenankanNya bergebang lagi, berkongsi pengalaman extra ordinary saya (setiap hari adalah extra ordinary!), bercerita perkembangan terkini 4 hero-hero kenit yang nakal dan becok ini (seorang ada 10 mulut, imagine 4 orang...), tips penjagaan dan keperluan untuk yang teriiiinnnnggggggiiiinnnnn nak anak KEMBAR!

Moga diberkati ALLAH.